Jumaat, 25 Julai 2008

Kegemaran saya yang Terkini

Saya mempunyai banyak kegemaran. Selain bermain badminton, salah satu kegemaran saya juga ialah membuat blog. Sejak kebelakangan ini, saya amat gemar menulis blog.
Menulis blog itu merupakan suatu aktiviti yang seronok kerana kita boleh berkongsi cerita antara satu sama lain. Kita juga boleh berkongsi berbagai-bagai kejadian yang berlaku pada diri kita seperti kisah-kisah sedih, gembira dan juga cabaran-cabaran yang kita lalui setiap hari. Blog ini seperti sebuah buku diari yang hendak saya kongsikan.

Guru Bahasa Melayu saya, Cikgu Azrina, juga sudah banyak meluangkan masa bersama saya untuk menyiapkan blog tersebut. Cikgu saya seorang yang rajin dan suka menolong murid-muridnya membuat kerja seperti blog saya ini.

Pada hari pertama, saya memulakan blog tersebut dengan hati yang kosong. Sebenarnya, saya tidak tahu apa itu blog walaupun saya pernah membaca blog orang lain. Kini, dengan bantuan Cikgu Azrina, saya semakin mahir menuils blog dan telah mempelajari banyak perkara baru yang berkaitan dengan menulis blog. Saya juga tidak akan lupa jasa cikgu yang menolong saya membuat blog ini.

Menulis blog juga banyak faedahnya. Bukan sahaja saya dapat berkongsi pengalaman dengan orang lain, saya juga dapat meningkatkan mutu Bahasa Melayu saya dengan menggunakan Bahasa Ibunda saya untuk berblogging. Rakan-rakan sedarjah juga dapat mengenal saya dengan lebih rapat melalui blog saya ini kerana Cikgu Azrina telah membantu mempromosikan blog saya kepada rakan-rakan sedarjah.

Kini, saya gemar menulis blog. Saya harap saya dapat teruskan usaha saya menulis blog ini walaupun tempoh untuk peraduan ini hampir tamat. Di masa hadapan, selepas peraduan ini berakhir, saya ingin berkongsi tentang perkara-perkara lain seperti pengalaman saya dalam isu-isu lain. Tidak sabar rasanya untuk bebas menulis tentang topik-topik lain.

Inilah Cikgu Azrina, guru Bahasa Melayu saya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ooohhh... Ada cerita tentang saya!